Bulan puasa adalah istilah yang tidak tepat jika digunakan untuk menyatakan berkaitan bulan Ramadhan. Kerana ibadah puasa bukan sahaja boleh dilakukan pada bulan Ramadhan, tetapi boleh juga dilakukan pada masa-masa yang lain sebagai puasa sunat atau puasa nazar.
Namun ibadah puasa pada bulan Ramadhan merupakan suatu ibadah fardhu yang wajib dilakukan secara berterusan selama sebulan. Bulan Ramadhan bukan sahaja medan untuk menahan diri daripada makan dan minum, tetapi lebih kepada mendidik diri dalam pelbagai aspek kehidupan.
Bulan puasa merupakan suatu tempoh pengembaraan jiwa dengan memperbanyakkan ibadah seperti solat tarawikh, tilawah quran, zikir, bersedekah dan menyediakan makanan bagi orang yang berpuasa. Bulan puasa juga merupakan suatu tempoh mengasah akhlak mulia dengan memperbanyakan bersabar, mengawal tutur kata, simpati dan saling membantu.
Dalam tempoh ini juga kita berpeluang untuk meningkatkan kefahaman dan ilmu dengan budaya saling memberi nasihat, tazkirah, bertadarus dan menghadiri kuliah. Latihan itensif selama sebulan ini merupakan tempoh yang sewajarnya memberi kesan kepada diri kita sekiranya kita melaluinya dengan program dan aktiviti yang baik ke arah perubahan yang positif.
Namun adakah bahasa Ramadhan yang kita lalui dipenuhi dengan program dan aktiviti seperti di atas? Tepuk dada tanya Iman...
No comments:
Post a Comment